Khamis, 5 Mei 2016

Resepi Tortilla Wrap Ayam Panggang


Resepi Tortilla Wrap Ayam Panggang sesuai dihidangkan untuk sarapan pagi atau makan malam. Jika anda tercari makanan yang simple dan mudah juga tidak terlalu 'berat' untuk dimakan,sila cuba resipi ni. Memang sedap dan tak susah pun untuk disediakan.

Ditulis oleh :  

Masa: Penyediaan: 20 minit | Memasak: 15 minit | Keseluruhan: 35 minit 
Jumlah Hidangan : 6 orang

Bahan-Bahan:

Bahan untuk wrap:
  • 6 keping roti tortila
  • Mayonis
Bahan untuk ayam panggang:
  • 2 keping ayam bahagian dada
  • 1 sudu kecil serbuk lada hitam, kisar kasar
  • 1 biji bawang putih, parut halus menjadi pes
  • 1/2 sudu kecil garam halus
  • 2 sudu besar minyak zaitun
Bahan untuk salad:
  • Kubis ungu, hiris sederhana nipis
  • Daun salad, hiris sederhana kecil
  • Ceri tomato, dibelah dua
  • Karot, diparut kasar
  • 1/2 batang timun (saya gunalan timun jepun)
Bahan untuk kuah salad:
  • 3 sudu besar minyak zaitun
  • 3 besar madu
  • 3 sudu besar perahan jus lemon
  • Secubit garam
  • Sedikit serbuk kasar lada hitam

Cara Penyediaan:

Cara-cara untuk ayam panggang:
  1. Belah dua dada ayam dan buka lebar, tapi pastikan tidak terputus dua.
  2. Perap ayam bersama lada hitam, bawang putih, garam dan minyak zaitun selama minimum 1/2 jam.
  3. Panggang dengan sedikit minyak di atas kuali non-stick pada kedua belah bahagian ayam sehingga masak.
  4. Angkat dan rehatkan selama 10 minit kemudian hiris nipis.
Cara-cara untuk salad:
  1. Gaulkan semua daun salad bersama sayuran lain dan ketepikan.
  2. Dalam botol kecil, masukkan semua bahan untuk kuah salad dan goncangkan selama beberapa minit sehingga betul-betul sebati. Gaulkan kuah salad bersama bahan salad. Tuang sedikit dahulu, jika kering tambahkan sedikit demi sedikit.
Cara untuk balutan salad (tortila wrap):
  1. Panaskan roti tortila di atas non-stick pan dalam 2-3 minit setiap sebelah bahagian.
  2. Sudukan salad ke atas tortila dan susun memanjang. Letakkan ayam dan mayonis, kemudian balut atau guling dengan kemas. Sedia untuk dihidang.
Tips:
Rendam dulu semua sayuran dan salad di dalam air ais selama 15-20 minit sebelum dikeringkan air menggunakan tisu dapur atau salad spinner (salad spinner adalah yang terbaik). Ini adalah untuk mendapatkan salad yang segar dan rangup.

Rabu, 4 Mei 2016

Resepi Begedil Ayam Sedap


Resipi Begedil Ayam yang sangat mudah dimasak dan sangat sedap. Che Nom sediakan begedil ayam ni untuk dihidangkan bersama soto ayam, sebabnya tak sedaplah soto kalau tak ada begedil kan... Untuk resipi ini, kentang yang digunakan ialah kentang yang biasa terdapat di kedai, bukannya kentang jenis yang diimport seperti kentang USA atau russet. Pendek kata, kentang tempatan atau asia yang murah tu lagi sedap buat begedil. Boleh letak cili kalau anda suka pedas. Satu lagi nota, jika anda nak gantikan daun sup dengan daun bawang pun ok, atau nak letak dua-dua pon boleh. Sila lah cuba! :)

Ditulis oleh :  

Masa: Penyediaan: 20 minit | Memasak: 15 minit | Keseluruhan: 35 minit 
Jumlah Hidangan : 12 biji

Bahan-Bahan:

  • 500 gram (4-5 biji) ubi kentang, kupas kulit dan potong setebal 1/2 inci
  • 150 gram daging ayam kisar
  • 1 biji bawang besar, didadu kecil
  • 1 pokok daun sup, hiris halus
  • 3 sudu besar bawang goreng
  • 1/2 sudu kecil serbuk lada putih
  • 1 biji cili merah, cincang kasar (kalau nak sedikit pedas)
  • garam secukup rasa
  • 1 biji telur ayam
  • Minyak untuk menggoreng

Cara Penyediaan:

Cara untuk masak ayam:
  1. Panaskan 2 sudu besar minyak masak dan goreng bawang besar sehingga lembut.
  2. Masukkan ayam kisar dan goreng sehingga ayam masak. Perasakan dengan sedikit garam.
Cara untuk masak begedil:
  1. Dalam kuali yang lain, panaskan minyak masak (anggaran 1 mangkuk). Goreng kentang sehingga kekuningan dan lembut. Angkat dan masukkan ke dalam mangkuk besar.
  2. Ketika kentang masih panas, hancurkan kentang dengan cara melenyek kentang sehingga halus menggunakan potato masher atau garfu.
  3. Masukkan bawang goreng, daun sup, ayam (yang dimasak tadi) dan serbuk lada putih. Perasakan dengan garam secukup rasa.
  4. Ambil sedikit adunan dan buat bulat. Kemudia leperkan sedikit dan susun di atas pinggan atau dulang.
  5. Panaskan minyak. Pecahkan telur dan kacau dengan garfu supaya sebati. Celup begedil di dalam telur dan goreng di dalam minyak yang panas sehingga kekuningan. Tunggu sehingga bahagian bawah begedil keras sedikit baru dialihkan untuk mengelak begedil dari hancur.

Selasa, 3 Mei 2016

Resepi Butter Chicken Berempah


Resepi Butter Chicken Berempah, idea datang ketika Che Nom makan butter chicken di sebuah restoran dan bila balik teringin nak masak menu yang sama. Kuahnya rasa lemak butter tetapi tidak muak kerana ada banyak rempah dan cili. Ayam diperap beberapa jam dan kemudian dibakar atau digoreng di atas kuali dan satukan bersama kuahnya. Masakan ni berasal dari Delhi, India dan sangat popular di negara barat terutamanya di UK. Sangat seimbang dari segi rasa dan cukup sedap. Selamat Mencuba.

Ditulis oleh :  

Masa: Penyediaan: 60 minit | Memasak: 15 minit | Keseluruhan: 75 minit 
Jumlah Hidangan : 4 orang

Bahan-Bahan:

  • 400 gram isi ayam, bahagian dada
  • 1 sudu besar plain yoghurt
  • 1 sudu kecil rempah garam masala
  • 2 sudu kecil serbuk cili
  • sedikit garam
  • 3 sudu besar butter
  • setangkai daun kari
  • 1/2 cawan susu cair
  • segenggam gajus, tumbuk dan bancuh dengan air menjadi pekat
Bahan tumbuk halus:
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 inci halia

Cara Penyediaan:

  1. Bersihkan ayam, potong dadu dan gaulkan bersama plain yoghurt, rempah garam masala, serbuk cili, dan bahan tumbuk halus. Perap selama sejam. Boleh juga diperap semalaman. Lagi lama di perap lagi sedap.
  2. Panaskan butter dalam kuali, goreng daun kari sehingga garing dan angkat.
  3. Goreng pula perapan ayam di dalam minyak butter tadi. Jangan terlalu cepat untuk membalikkan ayam kerana nanti ayam susah nak masak di bahagian luar.
  4. Masukkan pula susu cair dan pes bancuhan pekat gajus.
  5. Masukkan garam secukup rasa dan masak sehingga kuah mendidih. Tambahkan sedikit air jika kukah terlalu pekat.
  6. Taburkan dengan daun kari tadi, dan hidang.
Tips:
Rempah garam masala boleh didapati di kebanyakan pasaraya besar. Boleh juga buat sendiri dengan mengadunkan rempahnya dan kisar kering.

Isnin, 2 Mei 2016

Resepi Nasi Ayam Penyet


Resepi Nasi Ayam Penyet, masakan indonesia yang sangat popular dan menjadi kegemaran di Malaysia. Agak remeh untuk menyediakan hidangan ini tetapi sangat berbaloi kerana hasilnya sangat memuaskan dan sangat sedap. Pasti anda sekeluarga akan suka, jika nak makan di luar kos unuk satu hidangan agak tinggi. Kalau masak sendiri sangat puas hati.

Resepi ini digabungkan bersama nasi yang dimasak bersama air rebusan ayam. Pengalaman Che Nom, set nasi ayam penyet kebanyakannya dihidangkan bersama nasi putih biasa aja, tapi tak salah mencuba dan memang sedap.

Ditulis oleh :  

Masa: Penyediaan: 45 minit | Memasak: 45 minit | Keseluruhan: 90 minit 
Jumlah Hidangan : 8 orang

Bahan-Bahan:

Bahan untuk ayam penyet (rebusan):
  • 1 ekor ayam, potong 4 atau 8
  • 1 ketul kiub ayam
  • 1 inci halia
  • 2 ulas bawang putih
  • air secukupnya
Bahan untuk rempah perapan:
  • 1/2 sudu jintan manis *
  • 1/2 sudu jintan putih *
  • 3 sudu besar ketumbar *
  • 1 sudu besar serbuk kunyit
  • 1/2 sudu besar serbuk lada putih
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • sedikit garam
Bahan untuk tepung kriuk:
  • Lebihan perapan rempah ayam
  • 1 biji telur
  • 1/2 cawan tepung beras
Bahan-bahan untuk nasi ayam:
  • 3 cawan beras, bersihkan dan tos
  • 6 cawan air rebusan ayam, atau ikut sukatan jenis beras yang digunakan
  • 3 ulas bawang putih, diketuk
  • 1 batang kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 5 biji buah pelaga
  • 1 sudu besar mentega atau minyak sapi
  • 1 helai daun pandan, carik dan simpul
  • Sedikit garam
Bahan-bahan untuk sup ayam:
  • 1 ikat sup bunjut adabi
  • 1 tangkai daun sup
  • 1 tangkai daun bawang
  • 1 batang serai
  • bawang goreng
Bahan-bahan untuk sambal ayam penyet:
  • 10 biji cili padi
  • 10 biji cili merah
  • 10 biji bawang merah, belah 4
  • 3 biji bawang putih, hiris kasar
  • 3 biji tomato, belah 4
  • 5 cm belacan bakar
  • 1/2 gengam ikan bilis
  • 3 sudu besar gula melaka, atau secukup rasa
  • secawan minyak
  • limau nipis atau limau kasturi
  • sedikit garam, jika perlu secukup rasa
Bahan untuk hidangan sampingan:
  • 4 ketul tauhu
  • 2 keping tempe
  • Sayur dan ulaman (timun,daun selom,kubis,kacang panjang,tomato)

Cara Penyediaan:

Cara-cara untuk ayam penyet (rebusan):
  1. Basuh ayam dan rebus dengan air secukupnya bersama halia dan bawang putih. Anggaran 15 minit atau sehingga empuk.
  2. Angkat ayam dan toskan.
Cara-cara untuk rempah perapan ayam:
  1. Sangai rempah bertanda (*). Sangai bermaksud masak seketika di atas kuali tak berminyak sehingga naik bau.
  2. Sejukkan rempah dan kisar bersama semua bahan lain sehingga halus.
  3. Gaulkan ayam rebus diatas bersama rempah kisar. Perap selama beberapa jam. Minimum 2 jam supaya rempah meresap ke dalam ayam.
  4. Goreng ayam sehingga sedikit garing di luar.
  5. Gaulkan juga rempah bersama tauhu dan tempe sebelum menggoreng. Tapi jangan campur dengan ayam.
  6. Bahan lebihan rempah akan digunakan untuk tepung kriuk
Cara-cara untuk tepung kriuk:
  1. Gaulkan lebihan rempah bersama tepung beras dan telur. Percik bancuhan ini ke dalam kuali dan goreng sehingga rangup.
  2. Boleh juga disalut bancuhan ini ke atas ayam perap sebelum digoreng.
Cara-cara untuk nasi ayam penyet:
  1. Panaskan mentega dan tumis bawang putih, kayu manis, bunga lawang, buah pelaga dan pandan sehingga naik bau.
  2. Masukkan beras dan kacau seketika.
  3. Masukkan air dan sedikit garam. Tutup tudung periuk dan masak seperti biasa. Boleh juga gunakan periuk nasi elektrik.
Cara-cara untuk sup ayam:
  1. Panaskan air rebusan ayam bersama sup bunjut dan serai. Che Nom dah tak letak halia dan bawang putih sebab sudah dimasukkan semasa proses rebusan ayam mula-mula tadi. Boleh juga rwbus bersama bahagian tulang ayam sepeti leher dan kaki ayam (jika anda suka).
  2. Masak sehingga mendidih dan tabur dengan daun sup, daun bawang dan bawang goreng.
Cara-cara untuk sambal ayam penyet:
  1. Goreng ikan bilis dalam minyak sehingga garing. Angkat dan asingkan.
  2. Goreng cili dan bawang dalam minyak yang sama.
  3. Kemudian goreng tomato sehingga layu.
  4. Kisar kasar ikan bilis, cili, bawang dan tomato yang digoreng bersama belacan bakar.
  5. Panaskan minyak lebihan tadi, masak sambal yang dikisar kasar bersama gula melaka. Perasakan dengan garam jika perlu. Hati-hati kerana ikan bilis sudah masin.
Cara-cara untuk bahan sampingan:
  1. Goreng tempe dan tauhu yang sudah digaul rempah.
  2. Hiris timun dan tomato, serta bersihkan ulam-ulaman lain. Hidangkan bersama nasi dan ayam penyet.

Ahad, 1 Mei 2016

Resepi Cucur Badak


Resepi mudah cucur badak, juadah berbuka puasa yang agak popular dikalangan masyarakat melayu, pastikan anda menggunakan kelapa yang segar bagi mendapatkan cucur badak yang sedap. Tapi jangan pula diletakkan badak di dalam cucur ini, hanya nama saja badak, macam mana boleh dapat nama cucur badak saya pon tak berapa pasti, yang pasti badak mesti suka. 

Ditulis oleh : zalia/iresipi.com/ 

Masa: Penyediaan: 30 minit | Memasak: 30 minit | Keseluruhan: 60 minit

Jumlah Hidangan : 15

Bahan-Bahan:

Bahan-bahan utama:
·         1 Kilogram keledek(di lecek)
·         2 Cawan tepung gandum
·         1/2 Biji kelapa parut
Bahan untuk di giling:
·         10 biji cili kering
·         3 sudu besar udang kering
·         8 ulas bawang merah
·         3 batang serai
·         1/2 sudu teh ketumbar
·         1/2 sudu teh jintan manis
·         1/2 sudu teh jintan putih
·         1 inci halia
·         1 inci kuncit
·         garam secukup rasa

Cara Penyediaan:

1.      Panaskan minyak dan tumis bahan giling hingga naik baunya,
2.      Masukkan kelapa dan sedikit air
3.      Bila dah kering angkat dan sejukkan
4.      Gaulkan ubi keledek dengan tepung hingga sebati, kemudian bentukkan bulat2
5.      isikan intinya dan dibulakan semula
6.      Panaskan minyak dan goreng hingga masak.