Resepi Puding Sagu Gula Melaka, hidangan pencuci mulut yang boleh
disediakan di majlis istimewa. Bagi Che Nom, walaupun resepinya mudah
tetapi sangat versatile jika dihidangkan dengan cantik dan kemas. Terima
Kasih kepada blog kak Azlita Masam Manis kerana tips membilas sagu
supaya hilang kanjinya. Dengan cara itu, sagu akan lebih kental dan
terbentuk dengan cantik. Jangan risau jika sagu nampak agak hancur,
teruskan bilas dengan air dan toskan. Untuk resipi ini, Che Nom gunakan
sukatan cawan supaya mudah dan cepat.
Bagi kuah santan pula, lagi sedap jika kita gunakan santan segar.
Selamat mencuba :)
Ditulis oleh : Che' Nom/iresipi.com/
Masa:
Penyediaan: 45 minit |
Memasak: 10 minit |
Keseluruhan: 55 minit
Jumlah Hidangan : 18-20 biji
Bahan-Bahan:
-
Bahan untuk sagu:
-
- 1 1/2 cawan sagu
- air secukupnya
-
Bahan untuk kuah santan:
-
- 2 1/2 cawan santan (dari 1/2 biji kelapa)
- 1 sudu besar tepung beras
- 1 sudu kecil garam
- 1 helai daun pandan, carik dan simpul
-
Bahan untuk sirap gula melaka:
-
- 1 ketul besar gula melaka
- 3 sudu besar gula merah serbuk Thai
- 2 sudu besar gula pasir
- 1 helai daun pandan, carik dan simpul
Cara Penyediaan:
-
- Rendamkan biji sagu bersama air selama 1/2 jam. Anggaran air sehingga tenggelam dua ruas jari.
- Rebus sagu di atas api
perlahan sehingga hilang putih di tengah-tengah biji. Jika air kurang
tambahkan sedikit supaya sagu masak dengan sempurna.
- Tuang sagu di atas penapis dan bilas dengan air mengalir supaya kanjinya keluar.
- Toskan dan masukkan
pewarna kesukaan anda. Kacau sekata. Sudukan sagu ke dalam acuan dan
sejukkan di dalam peti ais selama 30 minit. Sagu akan terbentuk dan
kental apabila sejuk.
- Keluarkan dari acuan dan hidang bersama kuah santan dan sirap gula melaka.
-
Cara untuk kuah santan:
-
- Masak santan bersama daun pandan, tepung beras dan garam di atas api perlahan.
- Kacau sekata supaya santan tidak berketul. Apabila kuah sudah mendidih dan pekat, angkat dan sejukkan.
-
Cara untuk sirap gula melaka:
-
- Masukkan air di dalam periuk bersama gula melaka, gula merah Thai, gula pasir dan daun pandan.
- Masak sehingga sirap mendidih pekat dan ketulan gula hilang. Kacau sebati.
- Tapis dan sejukkan.
Tips:
Kuah santan: Kuah santan
haruslah sedikit pekat dan masin. Tidak terlalu masin tetapi cukup untuk
mengimbangi rasa manis dari sirap gula melaka.
Sirap gula melaka: Che Nom tambahkan gula merah Thai kerana rasanya yang
sedap dan warnanya yang pekat kehitaman. Bila dimasak bersama gula
melaka, warna yang terhasil sangat cantik dan rasanya sangat sedap.